HULU SELANGOR – Seorang jurujual perumahan berusia 23 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Masin, Batang Kali, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai jurujual perumahan menunggang motosikal dari arah Genting Highlands menghala ke Batang Kali.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah dilanggar lari oleh sebuah kenderaan dari arah bertentangan. Bagaimanapun, nombor pendaftaran kenderaan terbabit masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
“Pihak polis kini giat mengesan sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














