PERSOALANNYA bukan apa sudah jadi, tetapi apa nak jadi mungkin lebih tepat untuk menggambarkan situasi sulit mengenai masa depan kelab gergasi England dan dunia, Manchester United yang sedang menghadapi satu lagi musim sukar.
Dua keputusan seri ketika menentang pasukan yang dianggap boleh menang, Wolves dan Leeds United membawa kepada pemecatan pengurus yang dianggap ‘anak emas’, Ruben Amorim dan pengendali interim yang dilantik.
Sewaktu kemarahan peminat memuncak, pemilik United, Keluarga Glazer bertindak membuka ‘lelongan’ saham yang akhirnya dimenangi oleh Kumpulan INEOS yang diketuai oleh Sir Jim Ratcliffe yang kemudiannya diberi tanggugjawab menguruskan hal ehwal bola sepak.
Ratcliffe dianggap ‘hero’ yang mampu mengembalikan kegemilangan United selepas mereka dianggap terkena sumpahan selepas pengurus legenda, Sir Alex Ferguson meletakkan jawatan pada 2013.
Selepas era Ferguson, United melantik enam pengurus tetap serta enam pengendali sementara, namun tidak ada satu pun yang benar-benar mampu mengembalikan prestij dan maruah kelab itu ke tahap yang pernah dikecapi sebelum ini.
Bermula dengan ramuan bola sepak gaya klasik Inggeris, David Moyes, kemudian mereka memilih membawa masuk pengurus berprofil tinggi, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho, tetapi semuanya tidak setara Ferguson.
Mereka cuba mengubah lagi cita rasa dengan pengendali muda untuk memberi nafas lebih segar menerusi Erik Ten Hag dan Amorim, juga mengecewakan termasuk sentuhan bekas pemain kelab mereka sendiri, Ole Gunnar Solskjaer yang berakhir dengan pemecatan.
Apa lagi yang tidak kena dengan United terus menjadi tanda tanya serius buat para peminat United ketika ini terutama pemecatan Amorim yang sebelum ini diberi janji akan kekal untuk tempoh tiga tahun, tetapi dalam bola sepak jaminan itu murah.
Formasi 3-4-3 yang tidak digemari INEOS dan menyukarkan pemain dikatakan menjadi punca pemecatan, selain Amorim juga mengakui tidak diberikan kebebasan untuk mendapatkan pemain yang diperlukan, malah Benjamin Sesko dan Senne Lammens yang dibeli musim panas lalu dikatakan tidak mendapat restunya.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, berada dalam kelompok 10 pasukan teratas tidak cukup untuk United yang sinonim dengan kelompok ‘Big 5’, namun harus diakui ia lebih baik berbanding mengakhiri musim lalu di kedudukan ke-15.
Selepas tewas kepada Grimsby Town hingga tersingkir dari saingan Piala Liga Inggeris, United yang dikemudi Fletcher kelmarin terlepas satu lagi peluang meraih trofi apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Brighton pada aksi pusingan ketiga Piala FA.
Nampaknya, United yang perlu terus mencari semula modul untuk menjadi juara yang mereka telah terlupa sebelum ini an cabaran besar buat Ratcliffe dan INEOS adalah untuk kembali meraih kepercayaan peminat yang semakin pudar.














