PETALING JAYA – Banglo milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat akhirnya berjaya dilelong pada harga RM3.73 juta, semalam.
Banglo dua tingkat yang terletak di Seksyen 10, Petaling Jaya, itu berjaya dibida oleh salah seorang daripada empat pembida.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang ejen hartanah dikenali sebagai Ishaq Marazi, di media sosial miliknya.
“Empat bidders (pembida) berentap, sold (dijual) RM3.73 juta,” katanya ringkas.
Minggu lalu, Ishaq Marazi memaklumkan bahawa banglo sajat akan melalui proses lelongan yang seterusnya pada harga RM3.07 juta selepas beberapa kali ia gagal dilakukan.
“Last call lelong Isnin ni (semalam). Lelong RM3.07 juta, harga asal RM6.5 juta. Banglo dua tingkat, enam bilik, tujuh bilik air. Keluasan tanah 11,093 kaki persegi,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, dua tahun lalu banglo itu pernah dilelong Nur Sajat yang berhijrah ke Australia sejak Oktober 2021 pada harga RM9.5 juta, namun tiada pembeli.
Nur Sajat kemudian menawarkan harga baharu bagi banglo mewahnya iaitu RM7 juta, namun masih belum dibeli oleh mana-mana pihak.
Walaupun beberapa kali harga lelongan sudah diturunkan, namun banglo itu masih gagal dijual sehingga semalam.
Banglo itu pada asalnya milik usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruddin dan kemudian dibeli Nur Sajat pada tahun 2017 pada harga RM7.5 juta. – KOSMO! ONLINE














