fbpx
Sultan Sharafuddin.

Sultan Selangor gariskan tiga ketetapan ternakan babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menetapkan tiga ketetapan utama berhubung pengurusan serta hala tuju operasi penternakan babi di negeri ini.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan memaklumkan, ketetapan itu dibuat selepas baginda meneliti secara mendalam perkara berkenaan susulan perkenan menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan di sini.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.

“Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara berperingkat dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan,” katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, satu kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data sah perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.

“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.

“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar supaya ia kekal pada tahap munasabah dan terkawal,” jelasnya.

Berdasarkan kenyataan itu, Sultan Sharafudin turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.

“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” katanya.

Sehubungan itu, baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan berkenaan dengan penuh tanggungjawab, berhemah serta mematuhi undang-undang.

“Ini demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI