PUTRAJAYA- Aspek pendidikan berkualiti disifatkan akan terus menjadi keutamaan kerajaan, seterusnya berupaya melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem pendidikan tidak hanya bergantung pada dasar dan peruntukan semata-mata, sebaliknya pada kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
“Hubungan mantap antara semua pihak ini penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
“Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Sungai Besi, SJKC Kwong Hon dan SJKT Sungai Besi bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan yang merupakan inisiatif penting untuk meringkankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.
“Dalam lawatan ini, saya berpeluang bertemu dan menyantuni anak-anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan.
“Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa, tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara,” katanya.
Selain tempat menimba ilmu, Anwar berkata, sekolah juga menjadi ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri. – KOSMO! ONLINE














