KUALA LANGAT – Isu ternakan babi yang menghantui penduduk sekitar Tanjung Sepat di sini, sudah berlarutan sejak sekian lama, namun didakwa kembali aktif dua bulan lalu selepas berakhirnya jangkitan demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF).
Penduduk mendakwa, disebabkan aktiviti itu, mereka terpaksa menanggung bau busuk selain najis dilepaskan terus ke laut menyebabkan parit dan aliran air yang menjadi laluan utama najis bertukar menjadi hitam.
Seorang penduduk, Mohd. Zuhaize Ngapani, 44, berkata, isu ternakan babi berlaku sejak dia masih kecil dan mengundang pencemaran bau di kawasan tersebut.
“Kawasan ini sudah terlalu lama tercemar, malah di Tanjong Sepat dan Tanjong Layang dipercayai ada enam buah ladang berskala besar yang beroperasi semula. Cuma berapa banyak kandang (jumlah keseluruhan), saya tidak pasti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Jarak kandang babi yang kini sudah kosong dengan rumah penduduk adalah 50 hingga 70 meter (m).
Menurutnya, pembuangan terus najis babi ke kawasan laut turut mengganggu ekosistem. Ini selepas kerang dan kepah timbul semula ketika wabak ASF di Pantai Tanjong Sepat baru-baru ini selepas lebih 30 tahun ‘hilang’.
Mohd. Zuhaize berkata, walaupun tiada penyakit, penduduk masih bimbang pencemaran akan terus berlaku dan berharap ternakan haiwan itu dipindahkan ke lokasi khas.
Seorang lagi penduduk, Norsaid Kasman, 53, memberitahu, ketika ini kesan bau dari ladang babi masih kurang berikutan haiwan tersebut baru dua bulan memasuki semula kawasan tersebut.
“Sebelum ini bau busuk sering melingkari udara. Pengunjung yang datang ke sini pun akan bertanya bau apa (punca), namun saya tidak tahu akan datang (selepas ASF).
“Ratusan pekerja ternakan babi yang dahulunya menganggur, kini sudah kembali bekerja,” ujarnya.
Justeru, Norsaid meminta pihak berkaitan supaya memantau dan mengawal ketat aktiviti penternakan babi di daerah ini bagi mengelakkan jumlahnya terus meningkat.
Sementara itu, Ketua Kampung Tumbuk, Nasri Mohd. Jais berharap operasi penternakan babi akan dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030 dapat direalisasikan.
Katanya, teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin dijunjung penduduk daerah ini kerana isu ternakan babi telah berlarutan selama puluhan tahun.
“Sekiranya berlaku (pemindahan), Alhamdulillah. Jika tidak, kita (penduduk) akan bertanyakan kepada kerajaan,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan Sultan Sharafuddin tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi ternakan babi di Tanjong Sepat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan berikutan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan masalah ternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak tahun 2010.
Justeru, Sultan Sharafuddin turut mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat menetap bersebelahan kawasan ternakan babi seperti di Kuala Langat bagi menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti dialami penduduk.
Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Him akan menghadap Sultan Sharafuddin hari ini bagi menyembah maklum berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.
Izham juga akan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) termasuk langkah proaktif oleh agensi-agensi penguatkuasaan supaya keselamatan serta kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi. -KOSMO! ONLINE















