KONSERT Legacy 30 Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Konsert RadjaWali yang berlangsung kelmarin.

Pentas penuh, penamat tak sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSERT Legacy 30 Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menghimpunkan lebih 65,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan peristiwa luar biasa. Untuk seorang legenda bernama Siti, angka sebesar itu hanyalah penambahan atau pengulangan kepada rekod yang pernah dicatatnya.

Pada malam sama, Konsert RadjaWali di Idea Live 3 Damansara turut mencatat kehadiran penuh dengan tiket habis terjual. Dua pentas berbeza, dua skala berbeza, namun kedua-duanya diraikan khalayak dengan harapan sama, dan pulang dengan pengalaman lengkap.

Bezanya, konsert Siti yang sesak dengan lautan manusia berlangsung tanpa banyak kecamuk diperkatakan.

Sebaliknya, kepincangan ketara berlaku pada Konsert RadjaWali apabila persembahan dihentikan tepat pukul 12 tengah malam.

Lampu dipadam, meninggalkan penonton tergantung, bukan kerana persembahan kurang bertenaga, tetapi kerana pengalaman mereka diputuskan secara mendadak. Sama ada berpunca daripada polisi penganjur atau syarat permit, hakikatnya kesan itu tetap ditanggung penonton.

Awal situasi disangka gimik. Penonton enggan berganjak, berharap pentas akan kembali bernyawa. Namun, dewan yang boleh memuatkan sekitar 5,000 orang itu akhirnya perlahan-lahan dikosongkan, bukan dengan senyuman, tetapi dengan wajah marah dan kecewa.

Walaupun vokalis Wali, masih cuba memenuhi permintaan sambil memohon maaf, apakan daya, segalanya terhalang. Difahamkan, faktor permit serta perjanjian antara penganjur dan pengelola venue menjadi pengakhiran yang tidak dirancang itu.

Hampa. Jika konsert Siti ditutup dengan sorakan dan emosi puas, penutup RadjaWali pula berkicau bunyi ‘boo’ beramai-ramai, satu gambaran kehampaan penonton yang terasa dikhianati oleh keadaan.

Di sinilah garis pemisah menjadi nyata. Isunya bukan soal besar atau kecil, bukan populariti atau jualan tiket, tetapi pengurusan dan rasa tanggungjawab. Konsert berskala besar tiada masalah jika perancangannya kemas, manakala acara lebih kecil boleh tergelincir jika kelonggaran dibiarkan menjadi kebiasaan.

Siti Nurhaliza tidak sekadar menjual suara. Beliau membawa standard profesionalisme yang dibina puluhan tahun, satu reputasi yang tercermin bukan sahaja di atas pentas, tetapi pada cara keseluruhan acara.

Dalam industri hiburan hari ini, penonton bukan lagi sekadar pembeli tiket. Mereka adalah saksi kecekapan atau kegagalan sebuah penganjuran. Apabila lampu dipadam terlalu awal dan lagu terhenti tanpa penamat, itu bukan sekadar isu teknikal tetapi cerminan sikap.

Di situlah bezanya, yang satu meninggalkan kenangan indah, emosi berbunga-bunga yang barangkali mengambil masa berhari-hari untuk reda. Yang satu lagi meninggalkan persoalan, rasa kecewa dan penat berjam-jam keluar dari parkir, hingga ada yang pulang dengan rasa tidak berbaloi

Begitulah berakhir minggu cuti persekolahan. Usai ibu bapa melunaskan ‘escapisme’ hujung minggu, rutin harian kembali menanti. Cuti sekolah sudah tamat.

Tunggulah cuti Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri pula untuk kita kembali bergembira dengan harapan, semoga pengajaran atau kegembiraan kali ini tidak berlalu begitu sahaja. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN