KUALA TERENGGANU – Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mempunyai lesen memandu sah, selain lengkap bertopi keledar sekiranya menunggang motosikal ke sekolah.
Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM), berkata, kondisi motosikal digunakan juga perlu berkeadaan baik dan lengkap seperti mempunyai cermin sisi.
“Kemalangan tidak berlaku di kawasan sekolah. Pastikan keselamatan anak-anak supaya tidak berlaku perkara tidak diingini sewaktu dalam perjalanan ke sekolah,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas menyantuni bapa seorang pelajar tingkatan tiga yang maut kemalangan pada hari pertama persekolahan di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Pelajar tersebut, Nor Azimi Nor Hashim, 15, yang lengkap berpakaian seragam sekolah maut selepas motosikal jenis Honda C100 ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Axia di Jalan Kepong, di sini pada pukul 6.40 pagi semalam.
Zainal berkata, selain ibu bapa, KPM sering bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan penguatkuasaan dan keselamatan pelajar yang bermotosikal ke sekolah.
Beliau berkata, KPM juga telah mengambil inisiatif menambah baik modul keselamatan jalan raya dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan diperkenal pada tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE














