KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie berharap seluruh rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada rakan sepasukan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dalam usaha mereka kembali ke prestasi terbaik.
Hari ini, Tang Jie yang bergandingan dengan Toh Ee Wei mencatat kemenangan 21-13, 23-21 ke atas Pang Ron-Su Yin bagi meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Meskipun menang ke atas beregu No.21 dunia itu, namun Tang Jie menegaskan, Pang Ron-Su Yin perlu terus diberikan sokongan selain menganggap setiap atlet akan berdepan situasi turun naik dalam karier.
“Kami tidak boleh nak cakap ataupun komen mengenai mereka kerana kami adalah rakan sepasukan dan mereka juga ada kekuatan tersendiri. Saya rasa rakyat Malaysia perlu terus memberikan sokongan kepada mereka.
“Setiap atlet itu bukannya senang kerana ada juga berdepan turun naik. Kami berlatih bersama setiap hari dan kami tahu ketika mereka ada keyakinan ataupun bergelut,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menerusi kemenangan itu, Tang Jie-Ee Wei yang merupakan juara dunia terus melebarkan rekod kemenangan ke atas Pang Ron-Su Yin selepas menewaskan pasangan tersebut dalam kesemua empat pertemuan.
Dalam pada itu, Ee Wei menyifatkan mereka juga ada berdepan tempoh turun naik selain menegaskan, setiap pemain sentiasa memasang impian untuk menampilkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan.
“Macam kami juga, bukan selalu boleh menang. Semua orang tahu pemain-pemain sentiasa melakukan latihan keras dan nak jadi juara. Kami hanya berikan yang terbaik untuk negara, diri sendiri dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak dapat mengiringi Tang Jie-Ee Wei ke suku akhir selepas tewas 9-21, 17-21 kepada Presley Smith-Jennie Gai dari Amerika Syarikat (AS).
Pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu beregu No.8 dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet. – KOSMO! ONLINE














