MANCHESTER – Bekas bintang Manchester United, Michael Owen menganggap bekas rakan sepasukannya, Michael Carrick sebagai individu lebih berkelayakan untuk mengetuai pasukan hingga akhir musim ini.
Owen berpendapat, situasi sekarang meletakkan United berdepan kesukaran untuk mencari calon pengganti sesuai, namun kemampuan Carrick sudah terbukti seperti dilakukannya ketika menggalas tugas sementara selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer pada hujung 2021.
“Saya rasa terdapat banyak pilihan berbeza tetapi tiada yang begitu menonjol. Mungkin Michael Carrick boleh berada dalam perkiraan sekurang-kurangnya hingga akhir musim.
“Memang ada beberapa pengurus yang boleh dipertimbangkan, namun mereka masih ada jawatan, jadi ia mungkin akan menjadi lebih rumit. Saya melihat kepada Marco Silva (Fulham), Andoni Iraola (Bournemouth), Oliver Glasner (Crystal Palace).
“Jika dari luar, Roberto De Zerbi juga ada reputasi besar, begitu juga dengan Mauricio Pochettino namun saya tidak rasakan dia akan tinggalkan skuad kebangsaan Amerika Syarikat sebelum Piala Dunia,” katanya.
Sebelum ini, Ruben Amorim yang mengeluarkan kenyataan pedas selepas seri 1-1 dengan Leeds United muncul pengurus tetap ketujuh menjadi ‘korban’ dipecat oleh pengurusan tertinggi kelab selepas era Sir Alex Ferguson.
Ketika ini, The Red Devils membuat keputusan memilih seorang lagi bekas pemainnya, Darren Fletcher untuk mengalas tugas pengurus sementara bermula pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Burnley di Turf Moor awal pagi tadi. – AGENSI














