BACHOK – Tragedi seorang pelajar berusia sembilan tahun yang lemas di Pantai Kemayang di sini minggu lalu ternyata membuatkan orang ramai risau dan takut untuk mendekati laut ekoran ombak besar sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.
Tinjauan mendapati kawasan peranginan itu lengang walaupun cuti persekolahan belum berakhir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, rondaan dua kali sehari yang dilakukan mendapati pengunjung sudah berkurangan sejak kejadian lemas tersebut.
Katanya, anggota akan berhenti apabila ternampak pengunjung di pinggir pantai untuk menghalang dan menasihatkan mereka supaya tidak mandi.
“Kebanyakan pengunjung terdiri daripada penduduk luar daerah yang tidak tahu dengan keadaan pantai di sini berteluk. Bila pengunjung mandi mereka akan terjerlus dan lemas sebelum dihanyutkan ombak.
“Saya nasihatkan pengunjung yang datang ke pantai ini, agar tidak mandi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berulang,” katanya.
Ahmad Ridhuan berkata, selepas kejadian lemas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah memasang lima bendera merah sepanjang pinggir pantai Kemayang.
Tambahnya, pihaknya juga ada menyediakan kotak besi yang mengandungi peralatan menyelamat sejak dua tahun lalu tetapi kemungkinan pengunjung tidak tahu.
Seorang remaja, Nik Muhammad Najzman Hamidi, 17, berkata dia datang bersama keluarga untuk bersiar-siar sambil makan-makan.
Menurutnya, mereka datang dari Tanah Merah untuk menghadiri majlis perkahwinan.
“Saya tidak mandi kerana takut dengan kejadian lemas yang berlaku di sini. Ibu tidak membenarkan adik-adik mandi dan mereka hanya bermain di tepi pantai,” katanya.















