KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan 97 pusat ‘call centre’ penipuan dalam talian di sekitar ibu negara sepanjang tahun lalu, dengan seramai 1,070 individu ditahan terbabit dalam kegiatan tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marus berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur bersama Bukit Aman di beberapa premis kediaman yang dijadikan pusat operasi sindiket.
“Daripada jumlah tangkapan, seramai 600 individu merupakan warga tempatan manakala seramai 470 induvidu adalah warga asing.
“Polis turut merampas 2,845 peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk menghubungi mangsa serta wang tunai berjumlah RM5.07 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua yang ditahan bertindak sebagai pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi penipuan termasuk tawaran pekerjaan, pelaburan mata wang kripto tidak wujud dan penipuan kewangan lain.
Beliau berkata, kesemua suspek telah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan, selain berdepan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing yang melanggar syarat dokumentasi.
Fadil berkata, polis akan meneruskan operasi secara berterusan bagi memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” ujarnya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat jenayah ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














