PETALING JAYA – Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sehingga RM200 yang diberikan secara bulanan kepada golongan miskin akan dikreditkan seawal 9 Januari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 1 pula sebanyak RM500 akan dikreditkan bermula 20 Januari ini.
Katanya, bagi tahun lalu sumbangan Sara diambil atau digunakan oleh 96 peratus rakyat mencecah hampir RM3 bilion.
“Yang tidak berbelanja ada RM150 juta tidak digunakan oleh penerima dan akan diagihkan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, pelajar orang kurang upaya dan berkeperluan khas, perubatan pesakit miskin dan dapur siswa sebanyak RM15 juta,” katanya.
Sementara itu katanya, Penghargaan Sara one-off pada tahun ini kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari sempena Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina. – KOSMO! ONLINE














