fbpx
Noorhaidah sempat menatap wajah arwah suaminya buat kali terakhir ketika berada di HEBHK, Kluang semalam.

Sempat tatap wajah suami sebelum dikebumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Seorang lelaki maut, manakala isteri dan anaknya pa­rah apabila motosikal jenis Benelli TNT300 merempuh sebuah lori di tepi jalan selepas terkejut ekoran disergah dan dikejar anjing di Taman Murni Jaya Machap di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.40 malam itu mengakibatkan Muhamad Amirul Azim Hamdan, 28, meninggal dunia di lokasi nahas, manakala isteri, Noorhaidah Mohd. Basri,28, serta anak lelaki berusia setahun lapan bulan parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah simpang Tasik Machap menghala ke kawasan perumahan Taman Murni.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, seekor anjing dipercayai datang secara tiba-tiba dan mengejar tiga beranak itu menyebabkan mereka terkejut dan cemas seterusnya memecut laju motosikal.

“Mangsa bagaimanapun hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori yang diparkir di tepi jalan,” katanya.

Menurut Bahrin, polis turut mengambil keterangan pemandu lori dan diarah menjalani ujian air kencing. Mayat mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah
siasat.

Sementara itu, kakak Noorhaidah, Noorhazila, 35, berkata, adiknya yang berada di HEBHK sempat menatap wajah terakhir suaminya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setia Jaya, Machap di sini.

Katanya, pasangan itu hanya mempunyai seorang cahaya mata iaitu Muhammad Idris, 20 bulan, yang turut mengalami kecede­raan teruk pada bahagian muka.

“Adik hanya sempat menatap wajah suaminya, dan masih belum dibenarkan keluar wad, walaupun dalam keadaan sedih, namun kami reda dengan ketentuan Allah.

“Difahamkan anak saudara ada pendarahan dalam kepala, namun berharap dapat kembali pulih segera,” katanya.

Noorhazila mengakui memang terlalu banyak haiwan berkenaan di kawasan perumahan di sekitar Machap di sini.

Ujarnya, penduduk amat berharap satu tindakan dapat dilakukan bagi mengatasi masalah kehadiran binatang tanpa tuan yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN