BANGKOK – Seorang tukang tilik nasib di Thailand ditahan kerana mencuri telefon bimbit iPhone milik seorang wanita selepas memberitahu mangsa bahawa barang berharganya akan hilang, lapor portal berita Mothership.
Kejadian berlaku di Pattaya semalam.
Suspek bernama Udomsap Mueangkaew memakai pakaian menyerupai warga emas dan duduk beralaskan tikar di luar sebuah kuil.
Mueangkaew akan memanggil orang yang berjalan di hadapannya untuk menilik nasib mereka, demikian menurut media tempatan.
Suspek memberitahu wanita itu berdepan nasib malang dan kehilangan barang berharga selain mencadangkannya untuk mengasingkan sedikit wang demi mengelakkan perkara ini berlaku.
Selepas tilikan berakhir, mangsa datang semula ke suspek selepas menyedari telefon bimbitnya hilang.
Suspek menyatakan bahawa tilikannya tepat sambil menerangkan rupa ‘pencuri’ itu secara terperinci.
Telefon tersebut ditemukan di dalam beg suspek selepas mangsa meminta bantuan daripada kakitangan dan orang awam. – AGENSI














