DUNGUN – Mayat Mohd. Fazir Shafie, 37, yang lemas sewaktu membantu kakaknya berjaya ditemui di Pantai Sura Tengah, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shahrizal Samsuddin berkata, mayat lelaki tersebut dijumpai pada pukul 12.35 pagi selepas 14 jam operasi pencarian dilakukan.
“Mayat mangsa (Mohd. Fazir) ditemui terdampar di kawasan persisir pantai oleh pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Shahrizal berkata, mayat Mohd. Fazir telah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut.
Kosmo! hari ini melaporkan Mohd. Fazir dikhuatiri lemas selelas hilang dibawa ombak besar ketika mahu menyelamatkan kakaknya, Nor Baizura Shafie, 39, yang lemas ketika mandi di Pantai Sura Tengah.
Mayat Nor Baizura telah ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.54 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE














