KANGAR – Semua ahli Pas diminta supaya bertenang dan memberikan kepercayaan kepada kepimpinan untuk menangani segala permasalahan yang berlaku.
Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali berkata, ahli parti di semua peringkat juga perlu merujuk kepada apa yang dituntut oleh Pas Pusat.
“Saya tegaskan sekali lagi, sebagai ahli Pas berikan kepercayaan (tsiqah) kepada kepimpinan kita dan serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk menangani permasalahan yang berlaku,” katanya hari ini.
Katanya, beliau sebelum ini telah membuat satu kenyataan bagi mengarahkan semua ahli terutama di peringkat pimpinan supaya tidak membuat kenyataan sendiri.
“Hendaklah rujuk dahulu kepada saya sebelum membuat kenyataan-kenyataan atau rujuk kepada Pejabat Agung. Malangnya ada yang tidak mengikut arahan saya itu.
“Umpama seperti yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama (Pas Perlis) itu adalah di luar daripada pengetahuan saya dan tidak merujuk kepada saya. Saya anggap itu adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil sebelum ini menyatakan bahawa punca utama kemelut politik yang berlaku di negeri itu adalah kegagalan pihak sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Ahmad Adnan juga kekal dengan pendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dihentikan keahlian.
Ia termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pada hemat beliau tidak terlibat langsung dalam kemelut berkenaan.
Dalam pada itu, berhubung tuduhan pimpinan Pas Pusat menyembunyikan fakta, Ahmad menyifatkannya sebagai tuduhan berniat jahat.
“Ada pihak yang mengatakan bahawa pimpinan Pas Pusat menyembunyikan fakta-fakta sehingga keputusan yang dibuat oleh Tuan Guru Presiden adalah tidak betul.
“Ini adalah satu kenyataan yang berniat jahat. Kita menaruh kepercayaan kepada pimpinan kita. Saya yakin dan percaya bahawa tuduhan-tuduhan seperti itu memerlukan asas, dalil dan hujah yang benar. Ternyata tidak ada hujah-hujah yang dikemukakan setakat ini,” jelasnya.
Tambahnya, terdapat perbezaan antara tidak bersetuju dengan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan.
“Kita boleh tidak bersetuju dengan pandangan pimpinan tetapi jangan sampai ke peringkat hilang kepercayaan.
“Ada beza di antara tidak bersetuju dengan hilang kepercayaan kerana syarat dalam Islam ialah kepimpinan itu mestilah kita letak kepercayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














