SEBERANG PERAI – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menghulurkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membantu menampung kos rawatan bayi pramatang, Alexis Liang Xi Yue, yang dilahirkan di Jepun pada 9 November lalu.
Sumbangan itu disampaikan sendiri oleh beliau kepada bapa bayi berkenaan, Liang Chee Liang, 32, menerusi badan amal One Hope Charity & Welfare.
Menurutnya, beliau mengetahui mengenai kisah bayi tersebut sebelum menghubungi rakan baiknya yang juga Pengerusi pertubuhan berkenaan, Datuk Chua Sui Hau.
“Alexis dilahirkan secara pramatang pada usia kandungan hanya 22 minggu dan sehingga kini masih dirawat rapi di sebuah hospital di Jepun. Keadaannya masih belum cukup stabil untuk diterbangkan pulang ke Malaysia.
“Buat masa ini, bayi ini hanya boleh dibawa pulang selepas mencapai usia kandungan sepatutnya iaitu sekitar Mac 2026,” katanya ketika di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang bayi perempuan yang dilahirkan pramatang di Jepun memerlukan kira-kira RM1.5 juta bagi menampung kos rawatan intensif serta urusan membawa pulang ke tanah air.- KOSMO! ONLINE














