KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa prinsip tidak memisahkan Islam daripada politik merupakan asas perjuangan parti itu dan dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Pas.
Menurut beliau, semua tindakan dan pendirian Pas dibuat berpandukan al-Quran, al-Sunnah serta ijtihad para ulama yang memahami fiqh politik secara menyeluruh.
Abdul Hadi berkata, Pas tidak menghalang mana-mana pihak, sama ada agamawan atau bukan agamawan, daripada menyuarakan pandangan termasuk berkaitan isu yang berlaku di Perlis, selagi tidak bercakap tanpa ilmu atau menyebarkan kekeliruan.
“Kebebasan bersuara dijamin dalam negara demokrasi, namun ia mesti disertai dengan ilmu dan kefahaman yang betul agar tidak memalukan diri sendiri,” katanya menerusi tulisan bertajuk Minda Presiden Pas hari ini.
Beliau menegaskan, Islam menetapkan tiga tanggungjawab utama manusia iaitu ibadah, khilafah atau pemerintahan serta amanah, yang menurutnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
Jelasnya, konsep khilafah merujuk kepada urusan mentadbir negara secara adil termasuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar, sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa amanah kepimpinan wajib diserahkan kepada pihak yang layak dan berintegriti, sambil memberi amaran terhadap bahaya menyerahkan kuasa kepada individu yang tidak berkelayakan.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata Pas kekal beristiqamah dalam perjuangannya walaupun berdepan pelbagai cabaran, tekanan dan kezaliman sepanjang sejarah penubuhannya.
“Pas menjadikan politik sebagai kewajipan agama, bukan permainan atau kerja sambilan, dan akan terus berjuang secara berdisiplin mengikut prinsip Islam,” katanya.- KOSMO! ONLINE














