fbpx
Pekerja pembersihan menjalankan kerja-kerja di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi persediaan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 malam ini.

Ambang Tahun Baharu: DBKL ‘cuci’ Bukit Bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pembersihan dan persiapan di Jalan Bukit Bintang sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 tengah malam ini seterusnya Festival ‘I LITE U’.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, DBKL berkata, kerja-kerja pembersihan itu melibatkan cucian permukaan jalan, laluan pejalan kaki dan kawasan sekitar bagi memastikan ibu negara berada dalam keadaan bersih, selesa dan terjaga.

Pada hantaran lain, DBKL turut berkongsi beberapa gambar pagar dan pentas untuk sambutan malam ini dan Festival ‘I LITE U’.

“Kuala Lumpur kini makin meriah dengan persiapan sambutan Ambang Tahun Baharu dan ‘I LITE U’ yang bakal menghimpunkan ribuan pengunjung di kawasan tumpuan bandar raya.

“Ketika ini, kawasan tapak program berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur hasil kerja pembersihan yang telah dilaksanakan,” katanya.

DBKL turut meminta pengunjung supaya bersama-sama menjaga kebersihan dalam memastikan ibu kota sentiasa bersih dan menikmati suasana yang selesa sepanjang berlangsungnya acara.

“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan program. Sampah kecil atau besar, pastikan ia dibuang dalam tong yang disediakan. Tindakan kecil anda memberi impak besar kepada imej bandar dan pengalaman semua pengunjung.

“Kuala Lumpur ini milik kita bersama, mari jaga bersama,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, DBKL menerusi syarikat Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) menyediakan sebanyak 25 tong sampah di Bukit Bintang sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026 malam ini.

Tong tersebut ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan pada 50 meter setiap satu bagi memudahkan orang ramai menguruskan sisa secara lebih teratur sepanjang sambutan berlangsung.

Festival ‘I LITE U’ membabitkan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail dari pukul 6 petang hingga 11 malam, 1 Januari dan pukul 6 petang hingga 12 tengah malam, 3 Januari. Selain itu, Jalan Bukit Bintang turut ditutup sempena ambang Tahun Baharu 2026 bermula pukul 5 petang ini hingga pukul 2 pagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI