LIMA – Dua buah kereta api bertembung, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan 30 yang lain termasuk pelancong, berhampiran sebuah destinasi percutian terkenal di Peru, lapor laman berita The Mirror kelmarin.
Menurut laman berita Peru21, perlanggaran berlaku di laluan yang menghubungkan kota bersejarah tamadun Inca, Machu Picchu dengan kampung Ollantaytambo.
Mangsa yang disahkan maut ialah salah seorang pemandu kereta api dikenali sebagai Roberto Cardenas.
Berdasarkan laporan awal serta rakaman video yang tular di lokasi kejadian, perlanggaran itu berlaku secara berdepan antara kereta api milik syarikat Inca Rail dengan PeruRail yang sedang bergerak dari arah bertentangan.
Perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian kira-kira pukul 1.20 tengah hari (waktu tempatan).
Beberapa laman berita tempatan melaporkan, pelancong turut termasuk dalam kalangan mangsa yang cedera.
Inca Rail mengesahkan salah sebuah kereta apinya terlibat dalam perlanggaran tersebut dan memaklumkan bahawa kakitangannya segera dikerahkan ke lokasi kemalangan bagi melaksanakan tindakan yang perlu selain memindahkan penumpang secara teratur serta selamat.
Pihak berkuasa Peru memaklumkan bahawa laluan kereta api tempatan telah digantung buat sementara waktu. – AGENSI














