PETALING JAYA – Polis mengesahkan dua lelaki tular yang didakwa ‘scammer’ merupakan anggota polis daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, anggota tersebut sedang menjalankan tugas mengesan pemilik-pemilik motosikal yang ditahan di stor barang kes untuk tujuan penyerahan semula kenderaan kepada pemilik asal.
Katanya, pihaknya sebelum itu terkesan satu hantaran di platform Thread yang dibuat oleh seorang pengguna dikenali sebagai Kak Sha.
“Dalam hantaran tersebut pemilik akaun menyatakan terdapat dua orang lelaki Melayu telah datang ke rumah beliau dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada IPD Wangsa Maju bertanyakan berkaitan motosikal milik suaminya ditahan di balai polis.
“Pemilik akuan menyatakan motosikal tersebut adalah milik suaminya dan berada bersama suaminya. Pemilik akaun dalam penulisan menyatakan kedua-dua lelaki tersebut adalah scammer yang menyamar sebagai polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua anggota yang terlibat telah memperkenalkan diri sebagai polis semasa berurusan dengan orang awam yang terlibat.
“Bagaimanapun, tiada siatan lanjut dilakukan setakat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














