Selain daripada nahas yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu di Gerik, Perak yang telah dirangkumkan dalam momen utama tahun ini, berikut antara tragedi serta bencana melibatkan rakyat Malaysia tahun ini yang mengejutkan dan memilukan.
1- Letupan paip gas Putra Heights di Aidilfitri
Pada 1 April lalu, negara dikejutkan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada pagi raya kedua Aidilfitri. Api yang menjulang setinggi 30 meter dengan suhu 1,000 darjah Celsius itu menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 rumah separa musnah, manakala 57 buah terjejas melibatkan Taman Putra Harmoni, Kampung Tengah, Kampung Kenangan dan Kampung Sungai Baru. Pada 30 Jun lalu, polis sahkan tiada unsur khianat, sabotaj atau kecuaian yang menyebabkan kerosakan pada saluran gas sehingga meletup.
2- Nahas trak FRU ragut nyawa 9 anggota
Pada 13 Mei lalu, sebuah trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membawa 18 anggota yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak terlibat dalam kemalangan sehingga meragut sembilan nyawa.
Trak itu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Teluk Intan. Lapan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan
Susulan nahas ngeri itu, pemandu lori Rudi Zulkarnain Mat Radi didakwa pada 19 Mei lalu atas sembilan pertuduhan kerana memandu secara berbahaya.
3- Enam beranak lemas di Sungai Korok
Kehilangan sepasang suami isteri dan empat anak terjawab apabila jasad mereka dijumpai 48 jam kemudian bersama kereta Proton Iswara dalam Sungai Korok, Jitra. Lebih memilukan ketika kejadian pada 7 Julai lalu, enam beranak itu saling berpelukan.
Mereka ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adri ana Nur Izzat, 8, Annayla Humai ra Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.
4- 30 mayat terapung di perairan Langkawi
Pada 8 November, seramai 30 warga asing ditemukan lemas, manakala 14 lagi selamat selepas sebuah bot yang mereka naiki dipercayai karam berhampiran sempadan perairan Thailand-Malaysia dekat Langkawi. Ketika kejadian, bot yang membawa 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar dan Bangladesh itu dalam perjalanan ke negara ini.
Seramai 11 individu yang terselamat dituduh di mahkamah di bawah Akta Imigresen 1959/63.
5- 10 korban tragedi bot karam di Sibu
TRAGEDI bot karam yang berlaku di Pantai Belawai, berhampiran Kampung Belawai di Sibu, Sarawak pada 5 Julai lalu menyebabkan 10 terkorban. Terlebih muatan dikenal pasti menjadi punca tragedi bot karam karam tersebut. Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, siasatan dapati saiz bot fiber yang kecil itu tidak sepatutnya bawa penumpang seramai 17 orang, ditambah lagi muatan barangan.
6- Hatyai lumpuh, 4,000 rakyat Malaysia terkandas
Pada 22 November lalu, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terkandas di selatan Thailand susulan banjir besar yang melanda bandar Hatyai. Mangsa termasuk warga emas dan individu yang memerlukan ubat-ubatan bukan sahaja terperangkap di hotel, malah terpaksa bergelap selama beberapa hari kerana bekalan elektrik diputuskan dan makanan terhad. Bencana itu turut menyebabkan kenderaan milik rakyat kita tenggelam.
7- Ribut Senyar di Selat Melaka
Ribut Senyar adalah nama bagi ribut atau siklon tropika yang jarang berlaku dan telah terbentuk di Selat Melaka pada 26 November lalu. Ia bermula apabila berlakunya pembentukan sistem tekanan rendah yang berkembang di Selat Melaka sebelum bertukar menjadi ribut tropika apabila kelajuan angin bertambah. Fenomena ini dikatakan bawa hujan luar biasa, namun kemudian didapati melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah.
8- Murid maut jatuh lubang kumbahan
Seorang murid, Abdul Fattah, 9, maut selepas terjatuh dalam lubang kumbahan sedalam 1.8 meter ketika menyertai kejohanan sukan olahraga di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai 27 September lalu. Difahamkan, mangsa terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 sebelum diklasifikasi tiada tindakan lanjut (NFA).














