PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkait kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara tersebut dimaklumkan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi pihak media.
Menurut peguam itu, notis rayuan itu difailkan malam tadi.
Pada 26 Disember lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana itu.
Antara alasan yang diberikan hakim berkenaan dalam prosiding yang berlanjutan sehingga 10 malam ialah surat derma Arab adalah palsu dan Najib tidak lagi sepatutnya menggunakan alasan tersebut.
Tambah hakim itu, Najib dalam keterangannya tidak pernah menafikan bahawa wang yang diseleweng itu masuk ke dalam akaun peribadinya dan turut mengenali ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Najib dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Hukuman penjaranya bagi empat kesalahan terbabit boleh ditambah lagi 40 tahun sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.
Bagi 21 kesalahan pengubahan wang haram, Najib dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.-KOSMO! ONLINE














