TAIPING – Seorang wanita warga emas berbangsa Cina berusia 73 tahun ditemukan maut dipercayai akibat lemas selepas ditemui terapung di permukaan air berhampiran tebing tasik di hadapan Brew House, Taman Tasik Taiping hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.01 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai, sebelum jentera tiba pada pukul 9.27 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, Ketua Operasi menjalankan penilaian awal situasi dan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan tali.
“Mangsa ditemui dalam keadaan lemas dan terapung di permukaan air berhampiran tebing tasik sebelum berjaya dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Operasi menyelamat dikawal sepenuhnya pada pikul 9.28 pagi dan ditamatkan pada pukul 9.55 pagi.
Punca kejadian dan keadaan sebenar yang membawa kepada kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














