fbpx
HADZRAT (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Pontian hari ini. Foto oleh MUHAMMAD ZIKRI

Siang jadi drebar lori ais, malam mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Seorang lelaki yang menjalani kehidupan biasa sebagai pemandu lori ais di siang hari rupa-rupanya terlibat dalam 16 kes pecah masuk pejabat kerajaan dan kediaman di enam daerah di Johor.

Kegiatan suspek berusia 42 tahun itu terbongkar seleoas dia diberkas di sebuah kilang ais di Skudai, Ahad lalu hasil risikan pihak polis dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien berkata, suspek yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak menyasarkan peti besi dan wang tunai yang berada dalam pejabat kerajaan.

“Suspek bergerak seorang diri dan menyasarkan pejabat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kerana yakin terdapat wang dalam peti besi yang mudah dipecahkan.

“Lelaki itu memutuskan bekalan elektrik terlebih dahulu bagi mengelakkan sistem penggera berbunyi sebelum memecah masuk premis berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Enam daerah terlibat ialah Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri. Katanya, siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam 13 kes pecah pejabat Nadi, dua kes di pejabat LPP serta satu kes pecah rumah.

Tambahnya, enam pejabat Nadi di Pontian menjadi sasaran termasuk di Benut, Permas, Kayu Ara Pasong, Ayer Baloi serta dua lokasi di bandar Pontian.

Polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah termasuk sebuah motosikal, peti besi, peralatan memotong besi, telefon bimbit, barang kemas, resit pajak gadai serta peralatan elektronik. Nilai kerugian dianggarkan RM24,000.

Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan direman selama enam hari sehingga 2 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI