GEORGE TOWN – Sistem autogate baharu National Integrated Immigration System (NIISe) di kawasan pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini sedang menjalani ujian masa nyata bagi menggantikan sistem lama yang dihentikan operasi sejak seminggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan lapangan terbang bahawa sebanyak lima unit autogate baharu telah dipasang dan mula diuji sejak semalam.
”Pemegang pasport Malaysia sudah boleh menggunakan sistem autogate baharu ini bagi urusan pelepasan keluar negara, manakala pemegang pasport asing masih perlu menggunakan kaunter buat sementara waktu.
”Berdasarkan maklum balas awal pengguna proses pelepasan mengambil masa kurang daripada 10 saat jauh lebih pantas berbanding sistem lama,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sistem autogate NIISe itu dijangka melengkapkan ujian sepenuhnya dan mula beroperasi secara rasmi pada pertengahan Januari tahun depan.
”Apabila dilaksanakan sepenuhnya, sistem berkenaan akan membolehkan rakyat Malaysia serta pelancong dari 63 buah negara menggunakan kemudahan autogate, sekali gus mempercepatkan proses pelepasan imigresen di lapangan terbang itu,” katanya.
Hon Wai berkata, pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama Jabatan Imigresen Malaysia turut merancang untuk memasang sistem autogate baharu yang sama di kawasan ketibaan antarabangsa dengan kerja-kerja pemasangan dijangka dilaksanakan pada suku pertama tahun depan. – KOSMO! ONLINE














