PETALING JAYA – Kemunculan gabungan Web3, kecerdasan buatan (AI) dan Chatbox SocialFi sebagai antara pemacu utama ekonomi digital generasi baharu di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi CAHTX, Joyce Kau berkata, gabungan teknologi blockchain dan aplikasi itu membolehkan pengguna berinteraksi, belajar, berurus niaga dan menjana pendapatan dalam satu platform yang mudah digunakan.
Jelasmya, teknologi blockchain berfungsi sebagai sistem penyimpanan data digital yang telus dan selamat, manakala AI pula membantu membuat analisis serta cadangan pintar dan chatbox menjadi medium utama interaksi pengguna.
“Gabungan ini mewujudkan pengalaman digital yang lebih mesra pengguna berbanding sistem teknologi tradisional. Ekosistem yang dibangunkan oleh CAHT membawa pendekatan baharu kepada ekonomi digital di Malaysia.
“Ia membuka peluang kepada rakyat untuk menyertai ekonomi digital global yang lebih terbuka, inklusif dan berasaskan komuniti, tanpa bergantung sepenuhnya kepada institusi tradisional,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Joyce berkata, antara kelebihan utama ekosistem CAHT ialah keupayaannya merendahkan halangan untuk menyertai ekonomi digital.
Pengguna tidak perlu menjadi pakar teknologi kerana kebanyakan interaksi dan transaksi dilakukan melalui chatbox AI yang ringkas dan mudah difahami.
“Teknologi blockchain pula memastikan setiap transaksi direkodkan secara telus dan boleh disahkan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kepercayaan. Ini memberi keyakinan kepada pengguna bahawa setiap aktiviti ekonomi yang dilakukan adalah lebih teratur dan selamat.
“Selain itu, AI berperanan membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bijak melalui analisis data dan cadangan automatik. Secara keseluruhan, sistem ini memberi lebih kawalan kepada individu terhadap data peribadi, masa serta potensi pendapatan mereka,” katanya.
Tambah Joyce, sasaran utama ekosistem CAHT ialah golongan muda, usahawan digital, pekerja bebas, pencipta kandungan serta komuniti dalam talian yang aktif dalam ekonomi digital.
Di samping itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), jenama serta pengendali komuniti dalam talian juga boleh memanfaatkan sistem ini untuk membina komuniti pelanggan, menjalankan kempen digital, serta mengurus ganjaran dan insentif secara lebih cekap dan berstruktur.
Malah kata beliau, menjelang tahun 2026, ekosistem ini dijangka membuka lebih banyak peluang pendapatan digital kepada orang ramai.
Antaranya termasuk ganjaran komuniti, komisen digital, penyertaan dalam kempen jenama, penciptaan kandungan, perdagangan aset digital serta penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti kerja.-KOSMO! ONLINE














