PETALING JAYA – Satu hantaran di media sosial oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, hari ini mencuri perhatian kerana menimbulkan tanda tanya.
Menerusi kenyataan ringkas itu, Ahmad Fadhli menyebut tentang hubungan kawan yang akhirnya menjadi lawan, namun tidak mengulas lanjut mengenainya.
Hantaran itu dimuat naik tidak lama selepas Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah dari Parti Pribumi Bersatu mengangkat sumpah di Istana Arau, Perlis hari ini.
“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” katanya tanpa sebarang huraian terperinci.
Walaupun tiada mana-mana individu atau kumpulan disebut secara jelas, ramai netizen mengaitkannya dengan krisis politik yang berlaku di Perlis.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tanda tanya siapa Menteri Besar Perlis yang baharu terjawab apabila Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan itu, petang ini.
Istiadat pelantikan dan angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kira-kira pukul 4 petang.
Beliau dilantik menggalas tanggungjawab itu selepas Mohd. Shukri Ramli daripada Pas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE














