RABAT – Ketua Jurulatih Senegal, Pape Thiaw melabel Sadio Mane sebagai pemain terhebat dalam sejarah bola sepak Senegal selepas meledak gol ketika pasukan itu seri 1-1 menentang Congo dalam aksi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, pasukan Congo berjaya mencipta kejutan dengan meledak gol pertama hasil penyudah Cedric Bakambu sebelum Mane memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dengan menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua.
Menurut Thiaw, Mane yang kini berusia 33 tahun wajar dianggap sebagai pemain terulung dalam skuad kebangsaan kerana sentiasa konsisten di peringkat antarabangsa.
“Pada pandangan saya, pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Senegal ialah Sadio Mané. Tiada siapa yang mampu menandingi pengaruhnya dan dia seperti satu anugerah buat kami.
“Mane sentiasa mengutamakan pasukan, menjadi contoh dan saya tidak terkejut dia disayangi di seluruh dunia. Sebagai jurulatih, satu keistimewaan besar memiliki Mane dalam skuad kami,” kata Thiaw.
Mengulas mengenai perlawanan, Thiaw mengakui keputusan seri itu agak mengecewakan kerana anak-anak buahnya boleh menang jika memanfaatkan rentetan peluang terhidang.
“Keputusan ini sangat mengecewakan kerana kita mencipta banyak peluang terutama pada babak pertama. Namun, reaksi pemain untuk bangkit selepas ketinggalan memberi petanda positif,” katanya. – AGENSI














