AKSI Liga Super menentang Selangor FC malam ini boleh dianggap sebagai ‘penentu’ buat masa depan ketua jurulatih Melaka FC, K. Devan yang dilihat semakin suram selepas gagal membantu pasukan pamer prestasi yang diharapkan.
Sebagai rekod, skuad Hang Jebat yang dinaikkan pangkat daripada Liga A1 Semipro dianggap beraksi di bawah tahap sebenar pada saingan musim ini selepas hanya meraih enam mata selain merekodkan tujuh kekalahan dalam 11 perlawanan Liga Super.
Sedar masa depannya ‘di hujung tanduk’, Devan hanya mampu meletakkan nasibnya di tangan pihak pengurusan kerana apa yang lebih penting pasukan memberi tumpuan penuh di atas padang.
“Saya sudah lakukan yang terbaik. (Selepas ini) Saya serahkan kepada pengurusan untuk buat keputusan terbaik buat pasukan,” kata Devan.
Mengulas lanjut, Devan yang pernah membimbing Negeri Sembilan masih optimis ada sinar buat pasukan tetapi dengan syarat, beberapa kelemahan ketara perlu diperbaiki segera.
“Dengan pemain yang ada, kami perlu terus bersaing dan saya tetap menyediakan pasukan sebaik mungkin untuk perlawanan menentang Selangor.Mereka menggunakan kuota penuh pemain import, manakala kami hanya ada empat.
“Apa yang penting saya harap kami tidak bolos awal kerana ia memberi tekanan besar sepanjang perlawanan. Jika perkara ini dapat diperbaiki, saya yakin kami mampu bersaing,” katanya. – KOSMO! ONLINE














