KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 915 buah kenderaan mewah termasuk Aston Martin, Ferrari dan Lamborghini dalam Ops Luxury yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu hingga semalam.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, masih terdapat pemilik kenderaan mewah yang enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans walaupun telah berulang kali diingatkan.
Katanya, antara alasan yang sering diberikan oleh pemilik terlibat adalah terlupa serta menghadapi masalah kewangan, namun alasan tersebut disifatkan tidak munasabah.
“Walaupun terdapat peningkatan dalam pembayaran cukai jalan, namun masih ramai pemilik yang ingkar. Ada yang mendakwa terlupa, ada juga yang memberi alasan kewangan.
“Namun, jika mampu memiliki kenderaan mewah bernilai lebih RM300,000, tidak wajar insurans sekitar RM2,000 dijadikan alasan untuk tidak diperbaharui,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Pelbagai JPJ Kuala Lumpur di Jalan Ampang, di sini, malam tadi.
Muhammad Kifli berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana kenderaan mewah yang tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.
Katanya, kenderaan terlibat boleh disita pada bila-bila masa sekiranya dikesan melakukan kesalahan tersebut.
Sebelum ini, pada 1 Ogos lalu, JPJ memaklumkan pihaknya mempunyai senarai kira-kira 1,000 kenderaan mewah yang gagal memperbaharui cukai jalan.
Susulan itu, sehingga 12 Disember lalu, JPJ merekodkan sebanyak 706 kenderaan mewah disita di seluruh negara sejak Ops Luxury dilancarkan, termasuk 78 kenderaan mewah yang ditahan dalam Ops Luxury 4.0. – KOSMO! ONLINE














