fbpx
UNTUK memberi sentuhan dramatik, warna aksen seperti biru neon, hijau elektrik atau ungu metalik boleh digunakan.

Dekorasi futuristik paduan teknologi, estetika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMA dekorasi futuristik semakin mendapat tempat dalam dunia rekaan dalaman moden kerana tampil dengan gaya yang bersih, sofistikated dan sarat elemen teknologi. 

Ia bukan sekadar menampilkan rupa ruang yang moden, malah mencerminkan gaya hidup masa hadapan yang praktikal, pintar dan berfungsi. 

Bagi mereka yang ingin mengaplikasikan konsep futuristik di kediaman atau ruang komersial, terdapat beberapa tip penting yang boleh dijadikan panduan agar hasil dekorasi tampak kemas, selesa dan berimpak tinggi.

Menurut pereka dalaman bebas, Afiq Azlan, antara asas utama dekorasi futuristik ialah konsep minimalis. 

“Ruang futuristik menolak elemen yang berlebihan dan lebih mengutamakan susun atur ringkas serta kemasan yang kemas. 

“Pilih perabot dengan bentuk geometri yang jelas, garis lurus atau lengkungan halus tanpa ukiran rumit,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, pemilik rumah perlu mengelakkan penggunaan hiasan yang terlalu banyak kerana boleh mengganggu aliran visual. 

Ruang kosong atau ‘negative space’ juga memainkan peranan penting dalam menonjolkan elemen futuristik, menjadikan ruang kelihatan lebih luas dan teratur. 

PENCAHAYAAN memainkan peranan besar dalam mencipta suasana futuristik yang sebenar.

Katanya lagi, pemilihan warna turut menjadi elemen penting dalam tema futuristik. Warna natural seperti putih, kelabu, hitam dan perak sering dijadikan warna asas kerana mencerminkan kebersihan dan kemodenan. 

Untuk memberi sentuhan dramatik, warna aksen seperti biru neon, hijau elektrik atau ungu metalik boleh digunakan secara minimum pada lampu, dinding atau aksesori tertentu.  

Gabungan warna ini mampu mencipta suasana seakan-akan ruang teknologi tinggi atau dunia sains fiksyen yang elegan.

“Penggunaan bahan moden dan berkilau juga menjadi ciri utama dekorasi futuristik. Material seperti kaca, logam, krom, keluli tahan karat dan akrilik sering digunakan kerana memberi kesan licin dan reflektif. 

“Permukaan berkilat bukan sahaja memantulkan cahaya, malah membantu mewujudkan ilusi ruang yang lebih besar,” ujarnya.

REKA bentuk futuristik menitikberatkan fungsi tanpa menjejaskan estetika.

Kongsinya lagi, lantai epoksi, meja kaca atau kabinet berkemasan metalik boleh menjadi pilihan untuk menguatkan lagi identiti futuristik dalam ruang.

Pencahayaan memainkan peranan besar dalam mencipta suasana futuristik yang sebenar. Lampu diod pemancar cahaya (LED) tersembunyi, lampu jalur (LED strip) atau lampu pintar dengan kawalan warna dan kecerahan boleh digunakan untuk menambah elemen dramatik. 

Pencahayaan berlapis seperti gabungan lampu siling, lampu dinding dan pencahayaan lantai mampu memberikan kesan visual yang lebih mendalam. 

“Selain itu, integrasi teknologi pintar adalah nadi kepada dekorasi futuristik. 

“Pastikan kabel dan peranti elektronik disorok dengan kemas supaya ruang kekal bersih dan tersusun. 

“Reka bentuk futuristik menitikberatkan fungsi tanpa menjejaskan estetika,” jelasnya.

Aksesori dan elemen hiasan juga perlu dipilih dengan teliti seperti karya seni digital, arca abstrak atau hiasan berinspirasikan sains dan teknologi. 

Cermin dengan bentuk unik atau panel dinding bercorak geometri juga boleh dijadikan titik fokus. 

Namun, setiap elemen perlu mempunyai tujuan dan tidak sekadar memenuhi ruang. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN