fbpx
Pemilihan putih awan lembut atau Cloud Dancer yang diangkat Pantone sebagai Warna Tahun 2026 mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya warna putih dinobatkan sebagai warna tahunan.

Cloud Dancer diramal Warna Tahun 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2025 yang bakal melabuhkan tirai telah memperlihatkan kepelbagaian trend terutama dalam segmen kecantikan, gaya dan warna yang menjadi ikutan ramai.

Diangkat sebagai tahun untuk warna Mocha Mousse atau coklat yang hangat, gaya jalanan, elegan serta minimalis, 2025 telah mencetus simbolik nyaman dalam dunia yang semakin sarat dengan maklumat, bunyi dan rangsangan digital tanpa henti.

Tahun 2026 pula bakal meneruskan aliran tersebut dengan beberapa ramalan.

Menurut penganalisis warna, Michelle Chan, berdasarkan kajian daripada perusahaan dan sistem standard warna antarabangsa, Pantone, tahun 2026, warna putih awan atau Cloud Dancer dipilih sebagai warna tahunan.

“Pemilihan warna Cloud Dancer (Penari Awan) sebagai Warna Tahun 2026 telah mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya warna putih dipilih sebagai warna tahunan sejak inisiatif ini diperkenalkan.

“Namun putih Cloud Dancer bukanlah putih yang kaku atau dingin, sebaliknya merupakan putih lembut yang penuh ketenangan, seolah-olah menyedut udara segar di pagi hari,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Studio Colour Me Beautiful, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, warna ini melambangkan ketenangan emosi, imaginasi dan keperluan manusia moden untuk kembali mendengar suara dalaman sendiri

Kongsinya, Cloud Dancer hadir sebagai simbol keinginan kolektif untuk senyap, refleksi dan keseimbangan.

Pemilihan warna ini bukan dibuat secara rawak, sebaliknya hasil pemerhatian mendalam pasukan pakar warna global Pantone yang menilai perubahan teknologi, nilai sosial, trend seni serta sentimen dunia.

“Jika dilihat pada pilihan sebelum ini seperti Peach Fuzz pada 2024 dan Mocha Mousse pada 2025, jelas bahawa Pantone konsisten memilih warna yang bertujuan menenangkan emosi global dan Cloud Dancer menjadi kemuncak kepada usaha tersebut dengan simbol pembersihan dalaman.

“Keperluan warna putih lembut adalah kerana dunia telah melalui pelbagai ketidaktentuan termasuk konflik politik, bencana alam dan cabaran kesihatan awam, malah Malaysia juga tidak terkecuali, daripada pandemik sehinggalah tragedi-tragedi yang menguji kekuatan mental masyarakat,” ujarnya.

MICHELLE ketika ditemui di studionya di Kelana Jaya menunjukkan teknik menyuai warna pada individu.

Katanya lagi, Cloud Dancer digambarkan seperti awan yang menari perlahan, berada antara realiti dan ketenangan, tidak terlalu steril seperti putih tulen tetapi cukup bernafas dan hidup.

Ia mengingatkan kita untuk berhenti seketika, melepaskan tekanan dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk bernafas serta memulakan semula dengan minda yang lebih segar.

Berkongsi tentang penggunaan warna tersebut, Michelle menjelaskan keindahan Cloud Dancer juga terletak pada fleksibiliti dan potensi tanpa batasannya.

“Putih sentiasa menjadi klasik abadi daripada kemeja-T putih, kasut sukan putih, sehinggalah kepada reka bentuk kereta, dekorasi rumah dan cawan porselin di kafe.

“Warna ini menyuntik rasa kebebasan, ketenangan dan kesederhanaan. Dalam konteks tempatan, bayangkan semangkuk nasi putih yang ringkas tetapi mengenyangkan, begitulah sifat Cloud Dancer iaitu sederhana, namun menenangkan jiwa,” tuturnya.

Tahun 2026 dilihat sebagai masa terbaik untuk kita mempraktikkan konsep ‘whitening’, iaitu kembali kepada keaslian diri dan menghargai kesederhanaan.

Katanya, dari segi penggayaan, Cloud Dancer ialah tona putih universal yang sesuai dengan semua tona kulit.

Memilih rona putih yang tepat mampu menyerlahkan penampilan secara keseluruhan. Sama ada putih sejuk, putih lembut, gading atau krim, rona yang sesuai akan menjadikan kulit tampak lebih cerah, berseri serta seimbang.

Putih yang ideal bukan sahaja menaikkan gaya, malah membuatkan mata kelihatan lebih bercahaya.

“Cloud Dancer juga boleh disesuaikan mengikut personaliti gaya. Bagi individu kreatif, putih menjadi kanvas untuk eksperimen tekstur, potongan asimetri dan aksesori berani.

“Golongan romantik pula akan tampil anggun dengan fabrik lembut, renda dan sentuhan nostalgia.

“Untuk gaya dramatik, putih digunakan secara menyeluruh dengan potongan tajam atau kontras tinggi,” ujar Michelle.

Katanya lagi, mereka yang berjiwa natural akan memilih putih dalam potongan santai seperti linen dan kapas, manakala city chic memadankan Cloud Dancer dengan fabrik berkualiti dan palet natural mewah. Bagi gaya klasik pula, putih adalah simbol kemasan rapi dan keanggunan abadi.

Selain Cloud Dancer, warna-warna lembut, pastel dan natural juga dilihat bakal kekal menjadi pilihan dalam aspek kosmetik, warna rambut dan gaya.

Berkongsi hal itu, pengurus dan penata gaya dari pusat kecantikan, Sara Anna KL, Andy Maleqq berkata, sepanjang pemerhatian pada tahun 2025, warna-warna dalam spektrum coklat, kelabu dan merah merupakan antara pilihan orang ramai terutama dalam mewarna rambut.

Hal ini berikutan, warna-warna berkenaan merupakan pilihan selamat dan pada masa sama lebih sesuai buat warna kulit orang Asia.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia lebih memilih warna yang selamat tidak kira dalam mewarna rambut atau menata rias wajah.

“2026 dilihat akan membawa kesinambungan pemilihan warna-warna ini dan kemungkinan rona merah jambu kecoklatan juga bakal menjadi trend baharu untuk tahun hadapan,” kongsinya.

Dalam aspek pewarnaan rambut warna-warna natural seperti kelabu masih mendapat perhatian dengan jangkaan warna merah jambu kecoklatan bakal menjadi trend 2026. – M. FIRDAUS JOHARI

Jelasnya lagi, dari aspek menata rias, Andy berpendapat tahun hadapan bakal meneruskan trend minimalis dan natural dengan pemilihan warna-warna lembut dalam solekan.

Perkara ini dlilihat berdasarkan trend warna yang juga berkisar kepada rona-rona lembut.

Dari segi produk kecantikan, penggunaan pelindung matahari berwarna bakal menjadi pilihan berbanding pelindung matahari biasa yang dilihat lebih memberikan efek natural dan tidak meninggalkan kesan putih (white cast).

Dari aspek rawatan kecantikan pula, tahun hadapan bakal memperlihatkan lebih banyak pengeluaran serum yang membantu merawat kulit.

“Masyarakat kini semakin cakna dalam rawatan kulit dan ada antara mereka sudah jadikan rawatan wajah (facial) sebagai rutin bulanan untuk pembersihan muka lebih mendalam.

“Selain rutin asas penjagaan wajah seperti pencuci, penyegar dan pelembab, serum juga dilihat bakal menjadi rutin harian tambahan. Hal ini dapat dilihat dengan trend pemasaran dan produk serum yang semakin bertambah pada masa ini,” katanya.

Selain itu, pakar estetik antarabangsa, Dr. Rachel Ho menerusi blognya turut melihat pengaruh kecerdasan buatan (AI) yang dilihat akan terus berkembang dan menjadi trend kecantikan bagi tahun 2026.

Baginya, penggunaan AI akan terus meluas dalam industri kecantikan menerusi pelbagai cabang.

“AI akan pengaruhi cara masyarakat meneroka, menilai dan membeli produk daripada menyuai padan shading atau mencuba solekan secara maya.

“Sebagai contoh, Perfect Corp, sistem AI yang telah digunakan banyak jenama kecantikan termasuk MAC, Estee Lauder dalam hasilkan virtual try-ons yang realistik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN