PETALING JAYA – Malaysia bakal memperkenalkan 21 laluan penerbangan antarabangsa baharu bermula bulan ini hingga pertengahan Januari tahun depan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penambahan itu merangkumi 16 penerbangan berjadual dan lima penerbangan sewaan.
Katanya, ia melibatkan 10 syarikat penerbangan yang menghubungkan Malaysia dengan destinasi di rantau ASEAN, Asia Timur, Uzbekistan dan Sri Lanka.
“Daripada jumlah laluan berjadual itu, 13 dijadual bermula bulan ini manakala selebihnya pada Januari, sekali gus menambah 81 penerbangan terus ke Malaysia dengan kapasiti maksimum 13,936 penumpang setiap minggu.
“Lima penerbangan sewaan pula melibatkan empat laluan bermula Disember dan satu lagi pada Januari,” katanya dalam hantaran di Facebook.
King Sing berkata, perkhidmatan baharu itu turut melibatkan lapan negara, 17 destinasi serta menghubungkan sembilan lapangan terbang di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Tawau, Kuching, Ipoh dan Langkawi, dengan Asia Timur dikenal pasti sebagai tumpuan utama perluasan rangkaian.
“Tujuh penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan akan menghubungkan Malaysia dengan lapan bandar di China.
“Selain itu, penerbangan berjadual baharu akan dibuka ke Osaka, Jepun dan Busan, Korea Selatan, manakala Taichung, Taiwan akan menerima penerbangan sewaan,” katanya.
Sementara itu, King Sing berkata dalam rantau ASEAN, enam penerbangan berjadual akan menghubungkan Malaysia dengan Singapura, Jakarta dan Medan di Indonesia, serta Cebu di Filipina.
Sementara itu, katanya, Tashkent, Uzbekistan dan Colombo, Sri Lanka masing-masing akan menerima satu penerbangan berjadual.
Beliau berkata kebanyakan laluan baharu ini akan dioperasikan oleh syarikat penerbangan tempatan.
“Batik Air akan mengendalikan lapan penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan, manakala AirAsia akan melancarkan satu penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan, selain satu penerbangan berjadual oleh Firefly.
“Syarikat penerbangan asing yang akan memperluas operasi ke Malaysia termasuk enam syarikat dari China iaitu Loong Air, Shandong Airlines, Xiamen Airlines, Hainan Airlines, Sichuan Airlines dan Juneyao Air, yang akan mengendalikan lima penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan,” ujarnya.
Tambah beliau, baki penerbangan baharu pula akan ditawarkan oleh T’way Air dari Korea Selatan.- KOSMO! ONLINE














