ROMPIN – Lebih 100 orang penduduk Kampung Salang di Pulau Tioman di sini hidup dalam keresahan susulan ketiadaan talian telekomunikasi melibatkan talian telefon dan capaian internet.
Seorang penduduk, Abdul Khalid Mohamad,70, berkata, ketiadaan talian telekomunikasi melibatkan semua Telco sejak 17 Disember lalu itu menyebabkan penduduk di kampung berkenaan terputus hubungan dengan dunia luar.
Katanya, lebih membimbangkan apabila keadaan cuaca dan laut bergelora yang menyebabkan satu-satunya jalan perhubungan ke kampung itu melalui laut juga terputus.
“Kampung Salang tidak ada klinik kesihatan, kalau sakit demam bot pun tak ada sebab laut bergelora. Jalan darat pun tidak ada, kalau terputus hubungan hendak hubungi siapa.
“Kami tertanya-tertanya apa guna menara komunikasi yang dibina di pulau ini, baik robohkan sahaja kalau tak ada fungsi,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ketiadaan talian telekomunikasi berkenaan menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan kerana keadaan itu bukan sahaja menyebabkan mereka terasing malah boleh memberikan ancaman kepada keselamatan apabila mereka tidak dapat mendapatkan rawatan segera.
Katanya keadaan itu juga menyebabkan industri pelancongan di situ terjejas apabila pelancong tidak dapat membuat tempahan dan datang ke pulau peranginan berkenaan.
Tambahnya, keadaan itu juga memberikan imej tidak baik kepada industri pelancongan negara di mata pelancong-pelancong luar.
Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, dia dan penduduk kampung telah menghubungi pihak telco dan agensi terbabit sejak 17 Disember lalu namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan tuntas dilakukan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Beliau mendakwa tiada wakil atau juruteknik daripada agensi atau syarikat terbabit yang datang ke pulau terbabit setakat ini bagi menyelesaikan masalah terbabit.
“Harapan untuk melihat keadaan kembali pulih dalam masa terdekat tidak kesampaian kerana tiada wakil yang datang membaiki apa-apa dan hari ini, perkhidmatan feri sekali lagi tergendala kerana laut bergelora.
“Kita bayar bulan-bulan perkhidmatan telco, kalau tak bayar cepat sangat nak potong, bila tiada perkhidmatan macam ini kita tetap kena bayar juga,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














