KOTA TINGGI – Seorang gadis berusia 19 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Teluk Jeri Luar, Tanjung Sedili, di sini sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, keluarga Nur Damia Maisarah Muhammad Rashid mendapati gadis itu yang merupakan pekerja swasta tiada di rumah pada pukul 8 pagi hari kejadian.
“Gadis itu dipercayai meninggalkan rumah kerana mempunyai masalah peribadi. Susulan itu satu laporan polis dibuat berhubung kehilangannya pada pukul 1 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini. Katanya, gadis itu mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berat 40 kilogram, berambut kerinting paras bahu warna hitam, bermata coklat, bibir nipis, hidung mancung dan berkulit putih.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Damia supaya menyalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Aizat Ahmad menerusi 018-246 4667. – KOSMO! ONLINE














