PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia menegaskan pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan penganjuran sebuah acara pertandingan ratu dan jejaka selebriti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tourism Malaysia berkata pihak penganjur acara tersebut didapati menggunakan logo korporat Tourism Malaysia serta logo kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) tanpa kebenaran bertulis rasmi daripada agensi berkenaan.
“MOTAC dan Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi, tafsiran awam atau liabiliti yang timbul daripada penganjuran acara berkenaan, termasuk penggunaan logo tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tourism Malaysia, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak penganjur bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi negara.
Terdahulu, tular di media sosial video serta gambar memaparkan seorang lelaki berpakaian gaun wanita menerima sijil penghargaan dalam sebuah acara pertandingan itu.
Acara tersebut sekali gus mencetuskan rasa marah dalam kalangan pengguna media sosial yang menolak budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). – KOSMO! ONLINE














