PETALING JAYA – Selepas lima tahun bergelar isteri kepada usahawan A’dale Adham Ayahudin, pelakon Dayana Roza mengesahkan sudah bercerai sejak 18 Disember lalu.
Kelibat Dayana atau nama lengkapnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 34, dilihat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak pada tarikh dia didakwa bercerai.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Dayana mengenai penceraiannya dalam media sosial setakat ini.
Dayana ketika dihubungi Kosmo Online mengesahkan memang dia hadir ke mahkamah tersebut untuk bercerai.
“Ya memang saya hadir ke mahkamah tersebut untuk proses cerai. Saya kini sah bercerai talak satu. Kini saya sedang menjalani tempoh idah,” katanya.
Ditanya apakah punca penceraiannya, kata pelakon drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia itu, Dayana dan bekas suami sudah tiada persefahaman.
“Sebenarnya tahun lalu kami pernah hampir bercerai. Tetapi saya memberi peluang kedua untuk pulihkan keadaan.
“Namun nampaknya sampai di sini sahaja jodoh kami,” ujarnya.
Memiliki dua anak yang masih kecil, kata pelakon yang bakatnya digilap menerusi program realiti Anak Wayang itu, dia akan kembali aktif dalam bidang lakonan demi membesarkan anak-anaknya.
“Saya perlu bekerja keras demi membesarkan anak-anak. Insya-Allah kalau ada tawaran yang sesuai dan kena dengan waktu, saya akan terima. Saya masih menjaga anak-anak. Mereka masih kecil dan perlukan perhatian.
“Sebelum ini saya banyak tolak tawaran lakonan demi menumpukan perhatian kepada keluarga. Tetapi kini, saya perlu kembali mencari rezeki demi anak-anak,” kongsinya.
Untuk rekod, Dayana dan A’dale berkahwin pada 25 Disember 2020. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Astrid Raheeya 4 dan Aryan Andika 2. – KOSMO! ONLINE














