PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila seorang lelaki tidak memegang tangan anaknya ketika melintas jalan.
Menerusi hantaran di Threads, rakaman papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berlari untuk melintas sebelum berpatah balik apabila melihat kereta mendekati.
“Kalau lintas jalan itu, pastikan pegang tangan anak-anak, mereka itu amanah dan tanggungjawab. Nanti kalau kemalangan, jangan salahkan orang lain, salahkan diri sendiri juga,” katanya.
Video berdurasi 17 saat itu turut memaparkan bapa kepada kanak-kanak tersebut menaikkan tangan kepada pemandu seolah-olah berang sementara memimpin tangan anak lelakinya.
Menjengah ke ruang komen, ramai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap lelaki tersebut yang hanya menyalahkan pemandu.
“Tangan ada dua, gunakan dua-dua. Aku ni yang dah umur 34 ni pun kalau nak lintas jalan abah masih akan pegang tangan,” komen @Amrsme.
“Situasi yang sama pernah berlaku, aku tengah bawa motosikal, tiba-tiba ada budak berlari melintas. Memang kena maki,” komen @Shafiqfhmi.
“Bapak pun peganglah tangan anak. Berlari macam itu kan bahaya. Memang pemandu kereta, van dan lori yang kena tengokkan anak orang di jalan raya ke?,” komen @Ainaa_lieyy. –KOSMO! ONLINE














