PETALING JAYA – Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan seorang individu memakai tudung sambil meminum minuman keras.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dua individu tersebut iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 22 dan 24 tahun ditahan kira-kira pukul 4.30 petang tadi di Subang Jaya.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan awal polis mendapati individu yang memakai tudung dan minum minuman keras dalam video tersebut sebenarnya merupakan seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja tidak menjaga sensitiviti keagamaan sehingga mewujudkan suasana tidak harmoni.
“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutamanya melibatkan isu 3R (religion, race, royalty),” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang pemuda bertudung menikmati minuman keras di sebuah salon.
Video tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai khususnya yang beragama Islam malah ada juga pengguna media sosial bukan Muslim yang mengecam tindakan individu terbabit.- KOSMO! ONLINE














