fbpx
Penduduk membersihkan kawasan rumah yang dinaiki air banjir di Kampung Labu Lanjut, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Eco-Anxiety meningkat ketika musim monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nur Azalina Suzianti Feisal

Setiap kali hujan pada musim Monsun Timur Laut (MTL), ke­gusaran yang mencengkam rak­yat Malaysia semakin terasa. Apa yang dahulunya sekadar fenomena cuaca tahunan kini membawa dimensi psikologi yang lebih mendalam.

Corak monsun yang berubah dengan hujan yang tidak menentu, ribut yang semakin kuat dan peningkatan kejadian banjir kilat menjadikan musim tengkujuh satu tempoh yang mencabar bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental.

Dalam kalangan penyelidik, keadaan ini semakin dirujuk sebagai eco-anxiety, iaitu kebimbangan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan ketidakstabilan alam sekitar.

Di banyak negeri, hujan le­bat bukan lagi dianggap sebagai perkara rutin. Ia kini mencetuskan respons psikologi yang nyata: jantung berdebar apabila mendengar guruh, rasa tidak tenang apabila melihat awan hitam, atau kecenderungan memantau paras air secara berulang.

Kehadiran gejala sebegini menunjukkan bahawa reaksi masyarakat terhadap bencana alam sudah melepasi tahap kebimbangan biasa dan memasuki wilayah tekanan iklim yang lebih kompleks.

Di kawasan yang sering terjejas seperti Klang, Kuantan, Kota Belud dan beberapa bahagian Johor, pengalaman banjir berulang membawa kesan psikososial yang jelas. Kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa mangsa bencana berulang be­risiko tinggi mengalami tekanan pasca trauma (PTSD), keresahan jangka panjang, gangguan tidur dan perubahan tingkah laku.

Walaupun istilah PTSD jarang dibincangkan dalam konteks Malaysia, aduan seperti ‘takut setiap kali hujan’, ‘terbayang rumah dinaiki air’ dan ‘tak dapat fokus kerja apabila cuaca men­dung’ menggambarkan simptom sebenar tekanan iklim yang semakin menular.

Di bandar pula, masalah­nya lebih unik. Banjir kilat yang muncul secara tiba-tiba sering dalam masa kurang 30 minit menyebabkan penduduk merasakan mereka tidak mempunyai kawalan langsung terhadap persekitaran.

Keadaan ini merupakan faktor utama eco-anxiety, di mana individu merasakan tiada kemampuan untuk melindungi diri atau mengurus risiko yang semakin kerap.

SEBUAH rumah yang terjejas akibat hakisan pantai di Kampung Pantai, Batu Rakit, Kuala Nerus di Terengganu pada November lalu.

Faktor iklim

Pemanasan global menyebabkan udara mengekalkan lebih banyak wap air, mengakibatkan hujan turun dalam jumlah besar dalam tempoh singkat. Pada masa sama, pembangunan pesat mengurangkan kawasan serapan air, manakala sungai-sungai yang cetek dan sistem perparitan yang sering tersumbat mempercepatkan limpahan. Semua faktor ini bergabung menghasilkan banjir yang lebih kerap dan lebih sukar diramal.

Apabila kesannya dirasai hampir setiap tahun, masyarakat mula mengembangkan pola kebimbangan jangka panjang. Eco-anxiety dalam konteks Malaysia tidak terhad kepada kebimba­ngan tentang masa depan planet semata-mata; ia berkait secara langsung dengan keselamatan harian, kemampuan ekonomi, tempat tinggal dan kelangsungan hidup.

Di Sabah, Terengganu dan beberapa kawasan pesisir lain, kesan musim MTL lebih ketara kerana pengaruh angin kencang dan kenaikan paras laut. Komuniti seperti Bajau Laut berdepan perubahan yang mengganggu rutin harian: angin kuat yang me­numbangkan struktur rumah atas air, ombak besar yang menyukarkan aktiviti menangkap ikan, serta ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan keselamatan bot dan hasil tangkapan.

Bagi komuniti yang identitinya berakar pada laut seperti Bajau Laut, gambaran air yang melimpah bukan sahaja isu banjir, tetapi representasi langsung kemerosotan keselamatan laut.

Jika di darat air melimpah dengan cepat, di laut pula ombak yang berubah, arus yang kuat dan permukaan air yang naik membawa dimensi keresahan tambahan.

Bagi mereka, air bukan sekadar elemen cuaca, tetapi identiti. Apabila air berubah, seluruh struktur sosial dan budaya turut terganggu.

Ketahanan masyarakat

Walaupun cabaran ini semakin meningkat, negara masih mempunyai ruang besar untuk memperkukuh ketahanan masyarakat. Sistem amaran banjir berskala komuniti, pemantauan paras air menggunakan sensor murah, latihan bencana setempat, dan pendidikan awam tentang risiko iklim adalah antara pendekatan yang terbukti berkesan.

Namun, penyelidik menegaskan bahawa ketahanan tidak boleh dibina hanya melalui infrastruktur fizikal. Aspek psi­kososial seperti kesediaan mental, sokongan komuniti dan akses kepada bantuan kaunseling selepas bencana adalah sama pen­ting.

Eco-anxiety bukan tanda kelemahan, tetapi refleksi kepada perubahan persekitaran yang semakin ketara. Menyedari kewujudannya membolehkan kita merangka strategi yang lebih komprehensif untuk meningkatkan daya tahan rakyat.

Musim monsun akan terus datang, dan hujan tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan di Malaysia. Namun maknanya bagi rakyat kini telah berubah. Bagi sesetengah orang, hujan membawa kesegaran; bagi sebahagian lain, hujan membawa ingatan tentang kerosakan, kehilangan dan ketakutan.

Memahami eco-anxiety dalam konteks banjir bukan soal mencipta istilah baharu, tetapi soal mengakui pengalaman sebenar masyarakat bahawa perubahan iklim memberi kesan bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kepada kesejahteraan mental rakyat.

Jika Malaysia ingin menghadapi cabaran iklim masa depan, kita perlu menjaga kedua-duanya: tanah yang dipijak dan jiwa yang memikul ketidakpastian.

Dr. Nur Azalina Suzianti Feisal ialah Pensyarah Kanan di Faculty of Health and Life Sciences, Management and Science University

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN