SETIAP riuh ada maknanya, setiap kekecohan menyimpan memori untuk direnung.
Insiden pada konsert Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada 12 Disember lalu bukan hanya cerita penuh emosi, malah menjadi detik penting menguji keutuhan perjuangan muzik rock tanah air.
Kekalutan berlaku membuka mata banyak pihak bahawa Barbarik bukan kumpulan biasa, mereka hadir dengan identiti, karisma serta pengaruh besar sehingga setiap gerak-geri diperhatikan peminat tegar.
Apabila ratusan peminat terpaksa pulang tanpa menyaksikan persembahan akibat kapasiti penuh, simpati dizahirkan, namun Barbarik memilih jalan lebih berani, bangkit dan bertanggungjawab.
Sebagai pemuzik profesional, Barbarik tidak duduk diam, mereka tampil dengan solusi, mahu ‘membayar semula’ kekhilafan melalui penganjuran Pentas Barbarik Vol 2, sebuah konsert berskala lebih besar, lebih teratur serta dirancang rapi.
Tidak menunggu lama, Republic Mokhmah Records (RMR) bersama Pentas Barbarik Sdn. Bhd. mengumumkan penganjuran konsert berkenaan di lokasi lebih megah.
Pentas Barbarik Vol 2 dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 31 Januari 2026, bermula pukul 8 malam, sekali gus menjadi medan pembuktian buat Barbarik menebus kembali kepercayaan peminat.
Mewakili Barbarik, JoBranko berkata, insiden terdahulu mendorong kumpulan itu mengambil tanggungjawab penuh demi menjaga reputasi serta hubungan dengan peminat setia.
“Penganjuran Pentas Barbarik Vol 2 bukan usaha menutup kekecohan atau kekhilafan lalu. Konsert ini memang sudah lama ada dalam agenda kami.
“Disebabkan apa yang berlaku, Barbarik memilih untuk berdiri teguh dan memastikan persembahan berskala besar, lebih berkualiti serta menjamin tiada lagi penjualan tiket berlebihan sehingga boleh menjejaskan kepercayaan peminat,” jelasnya.

Bagi menghangatkan lagi ‘pertempuran’ di atas pentas, Barbarik turut membawa masuk pemuzik legenda tanah air, Karl sebagai penampilan khas.
Paling penting kata Jo, peluang menyaksikan Karl beraksi secara langsung memberi nilai eksklusif dan magis tersendiri buat peminat setia muzik keras.
“Kenapa Karl? Mengapa tidak? Selain kewibawaan serta status legenda, beliau juga muncul sebagai artis undangan dalam album sulung kami Peluru Cokelat menerusi lagu Golok Kayu.
“Dengan perancangan lama serta persediaan mantap, Pentas Barbarik Vol 2 menampilkan sekitar 30 peratus persembahan berbeza. Kami tidak mahu peminat datang dan mendengar pengulangan seperti kaset, cakera padat atau platform penstriman.
“Kami mahu setiap kemunculan memberi pengalaman berbeza, sama ada pahit atau manis, tetapi tetap membawa cerita untuk dibawa pulang sebaik melangkah keluar dari arena,” jelasnya.
RMR selaku penganjur turut menegaskan penganjuran kali ini bukan bersifat mengambil kesempatan atau mengulangi kesilapan sama sebaliknya, Pentas Barbarik Vol 2 dianggap medan ‘pertempuran’ signifikan selepas beberapa siri penganjuran terdahulu.
“Penganjuran ini signifikan dengan kekuatan kami. Mega Star Arena pula lokasi terbaik untuk memulakan perayaan tahun baharu.
“Kami akan sedaya upaya mengelak penjualan tiket tidak sah, berlebihan atau apa sahaja perkara yang mampu menjejaskan reputasi Barbarik serta penganjur tempatan,” kata wakil Republic Mokhmah Records, Abdul Musa Mokhtar.
Gandingan pemuzik baharu serta berpengalaman dalam Barbarik yang terdiri daripada Ainoll, Rozaimi Muss, JoBranko dan Lee terus mencipta kekuatan tersendiri.
Barisan penampilan istimewa turut diperhebat dengan kehadiran Karl Cromok selain Eddie, Black, Mel dan Jojet yang dikekalkan daripada persembahan terdahulu.
Konsert yang berdurasi selama dua jam 30 minit itu menjanjikan 30 peratus kelainan berbanding konsert Pentas Barbarik Vol 1, termasuk pemilihan lagu serta susunan repertoir.
Penjualan tiket bermula 18 Disember pada pukul 12 tengah hari menerusi platform www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2, dengan kategori RM138 (General Admission), RM168 (Rockzone – standing), RM268 (Normal – seating), RM368 (VIP – seating) serta RM1,500 (Grand VIP – Couple Seat), tidak termasuk caj pemprosesan. – KOSMO! ONLINE














