LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya masih belum sempurna meskipun lolos ke separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) selepas menewaskan Crystal Palace menerusi penentuan penalti 8-7, awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Emirates itu, skuad The Gunners nyaris berdepan aib selepas pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan hasil penyudah Marc Guehi untuk keputusan 1-1 sekali gus mengheret saingan ke penentuan penalti.
Arteta berkata, selain penyudah yang tumpul, kealpaan di benteng pertahanan khususnya pada saat yang genting hampir menghukum pasukan.
“Saya telah melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dan kualiti yang dipamerkan masih memuaskan. Cuma, kami sepatutnya menang dengan margin lebih besar, tetapi penjaga gol lawan sangat cemerlang.
“Kemudian, nasib kami bertambah malang apabila dibolosi pada masa kecederaan dan gol mereka sukar untuk saya terima. Pemain berjaya bangkit pada penentuan penalti dan saya gembira dengan prestasi penjaga gol kami, Kepa Arrizabalaga,” katanya.
Sementara itu, Arteta mengakui bukan mudah untuk pasukannya memberi fokus apabila terpaksa mengharungi perlawanan kompetitif pada setiap tiga hari dengan tumpuan selepas ini terarah pada aksi menentang Brighton pada Sabtu nanti.
“Pemain kini bersedia untuk mengharungi pelbagai situasi dan kita telah berdepan dua perlawanan sukar. Bukan mudah untuk kekal konsisten dan pujian wajar diberikan kepada mereka,” katanya. – AGENSI














