JELI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyantuni waris mangsa kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dua pelajar tajaannya dengan penyerahan lebihan pampasan perlindungan takaful bernilai hampir RM15,000.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Md. Asyraf Zulfadhly Md. Zainudin berkata, pihaknya menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham Mohammad Naim Zikry Marwadi, 23, yang meninggal dunia dalam kemalangan motosikal di daerah ini pada 15 September lalu.
Menurutnya, YBR menyerahkan lebihan manfaat dan pulangan perlindungan takaful Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) berjumlah RM4,945.20 kepada waris arwah di kediaman ibunya di Kampung Seberang Jeli di sini semalam.
“YBR bersimpati dengan musibah yang menimpa keluarganya dan diharapkan sumbangan ini dapat membantu waris meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Allahyarham merupakan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam jurusan Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius pada paru-paru kanan dan patah tulang pelvis selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Md. Asyraf berkata, YBR turut menyerahkan lebihan pulangan takaful berjumlah RM9,459.51 kepada waris seorang lagi pelajar tajaan, Allahyarhamah Siti Ain Balqis Hamdan, 23, yang berasal dari Gombak, Selangor dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, arwah merupakan bekas pelajar tajaan YBR dalam jurusan Diploma Polisi dan Penyiasatan di Kolej Unikop sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di UMT.
Sementara itu, ibu Allahyarham Mohammad Naim, Zawiah Mohd. Zain, 50, yang merupakan ibu tunggal berkata, dia tidak menyangka pihak YBR masih menyediakan manfaat perlindungan walaupun anaknya telah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE














