fbpx
Medina bersama ibu dan bapanya beberapa hari sebelum menjalani pembedahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China, pagi tadi.

Pembedahan hati lancar, Medina dipantau di ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pembedahan pemindahan hati kanak-kanak penghidap biliary atresia (BA), Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, 2 tahun 4 bulan, serta bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berjalan lancar di sebuah hospital di Shanghai, China, hari ini.

Ibu kanak-kanak itu, Norfazlinah Ibrahim, 28, berkata, prosedur pembedahan yang bermula kira-kira pukul 9 pagi tadi tidak menghadapi sebarang masalah.

Kongsinya, suaminya yang menderma sebahagian hati untuk anak pertama mereka telah dibawa masuk ke bilik pembedahan terlebih dahulu sebelum selesai menjalani prosedur kira-kira empat jam kemudian.

“Selepas itu, Medina pula menjalani pembedahan hampir tiga jam dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ujarnya, Medina kini masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi tujuan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan sehingga keadaannya stabil dan boleh dipindahkan ke wad biasa.

Tambahnya, keadaan suaminya juga stabil dan telah sedar selepas pembedahan, namun masih lemah serta memerlukan rehat serta pemantauan lanjut.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan prosedur ini berjalan lancar, saya hargai setiap doa yang dizahirkan.

“Kini saya harap Medina serta bapanya diberikan kesembuhan dan dijauhkan daripada sebarang komplikasi,” ujarnya.

Terdahulu, kisah Medina turut tular di media sosial selepas sebahagian besar dana telah disumbangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Ikmal Saleh iaitu sebanyak RM120,000, manakala RM62,000 dikutip melalui Yayasan Nanyang Press. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI