MALAYSIA mencipta detik bersejarah dalam arena e-sukan apabila pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara berjaya meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Kejayaan itu hadir selepas perlawanan akhir yang mendebarkan apabila Malaysia menewaskan seteru tradisi, Filipina dengan keputusan 4-3. Pingat emas itu menjadi emas pertama negara dalam acara MLBB di Sukan SEA.
Pencapaian itu juga mengulangi kejayaan negara memenangi emas dalam e-sukan di Sukan SEA pada 2019 menerusi acara Hearthstone.
Prestasi luar biasa pasukan wanita negara turut dipuji apabila berjaya menyesuaikan diri dengan pantas sepanjang kejohanan, sekali gus menjadi satu lonjakan besar buat landskap e-sukan negara.
Kejayaan tersebut disumbangkan oleh barisan pemain yang terdiri daripada Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi.
Menurut Presiden Malaysia Esports Federation (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin, gabungan atlet berpengalaman dan baharu, selain disokong keupayaan adaptasi pantas di bawah tekanan menjadi faktor utama kebangkitan pasukan wanita.
“Pasukan wanita negara dibarisi gabungan atlet berpengalaman dan baharu. Sebahagian daripada mereka ada yang pertama kali beraksi di pentas antarabangsa.
“Walaupun berdepan tekanan tinggi termasuk suasana perlawanan dan sokongan penyokong lawan, namun mereka menunjukkan keupayaan adaptasi yang sangat pantas.
“Faktor inilah yang membolehkan pasukan kekal tenang, bangkit melakukan comeback dan memberi tekanan berterusan kepada lawan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 sempena kepulangan atlet Sukan SEA negara.
Sementara itu, pasukan MLBB lelaki Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila mara ke perlawanan akhir sebelum tewas 0-4 kepada Filipina, sekali gus membawa pulang pingat perak.
Keputusan itu mengulangi pencapaian yang diraih pada Sukan SEA 2023 di Kemboja. Pasukan lelaki kali ini diwakili pemain seperti Idreen Abdul Jamal, Muhammad Haqqullah, Hazziq Danish, Muhammad Qayyum dan Ealtond Rayner.
Tambah Muhammad Naim, pihak pengurusan mengakui wujud beberapa kekangan bagi pasukan lelaki termasuk isu pemakanan serta tekanan jadual pertandingan yang padat.
Biarpun berdepan cabaran tersebut, namun para atlet tetap berjuang sehingga ke perlawanan akhir.

Prestasi yang ditampilkan oleh pasukan disifatkan sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
“Kekalahan yang dialami pula tidak dianggap sebagai kegagalan mutlak, sebaliknya dilihat sebagai proses pembelajaran untuk penambahbaikan pada masa hadapan.
“Antara kelemahan dikenal pasti termasuk jadual latihan terlalu singkat, kekangan masa persiapan serta keserasian pasukan yang masih belum matang sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan MLBB wanita negara yang meraih pingat emas di Sukan SEA 2025, Sharifah Alia Husna berharap kemenangan mereka memberi mesej positf kepada pemain lain.
Dia mahu menggalakkan pemain-pemain wanita untuk tidak berputus asa, terus berusaha dan menyertai pelbagai pertandingan kerana negara amat memerlukan ramai pemain wanita berbakat.
“Malaysia memerlukan lebih ramai pemain wanita berbakat untuk terus membangunkan arena e-sukan negara.
“Sokongan dan galakan daripada pasukan senior amat penting bagi membantu pemain baharu berkembang.
“Saya berharap kejayaan pasukan ini dapat menggalakkan lebih ramai pemain wanita tampil dan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan MLBB lelaki negara, Idreen berkata, mereka perlu memperbaiki beberapa aspek permainan termasuk membuat keputusan lebih pantas.
Dia turut menolak dakwaan bahawa kekalahan pasukan itu pada perlawanan akhir disebabkan kurangnya keserasian. Sebaliknya, menegaskan bahawa hubungan antara ahli pasukan sangat kuat.
Selain itu, kekalahan tersebut disebabkan oleh keputusan yang lambat dan kurangnya disiplin ketika pasukan berada di hadapan.
“Kami mengambil pengajaran daripada kekalahan dengan pasukan Filipina. Kami tidak boleh lalai walaupun sesaat kerana lawan pantas menghukum sebarang kesilapan.
“Pasukan juga perlu mempelajari aspek rotasi dan membuat keputusan bagi meningkatkan prestasi pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang peminat e-sukan berasal dari Kedah, Umairah Hazlan mengagumi gaya permainan pasukan wanita terutama dari segi set up game dan cara menyokong rakan sepasukan.
Sebagai penyokong tegar, Umairah mengikuti hampir setiap perlawanan Sharifah Alia dengan semangat dan menganggap setiap perlawanan adalah sengit.
“Saya melihat corak permainan Sharifah Alia dan berharap dia menggunakan hero Khufra. Sebaliknya, dia lebih banyak menggunakan hero Chou.
“Kemenangan yang diperoleh pasukan ini boleh disifatkan sebagai hasil usaha mereka sehingga ke saat akhir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peminat e-sukan tempatan, Aqiff Nuqman Asmaw melihat ada peningkatan prestasi bagi pasukan lelaki negara.
Katanya, pasukan itu dilihat lebih solid, dan menganggap kekalahan kepada Filipina disebabkan lawan menggunakan team tahap tinggi seperti Team Liquid PH.
Bagi pasukan wanita pula, Aqiff Nuqman kagum dengan corak permainan mereka yang menampilkan gaya permainan agresif dan setanding dengan pemain lelaki.
“Saya nampak prestasi pasukan lelaki Malaysia semakin meningkat dan mereka tampak lebih kukuh. Kekalahan kepada Filipina berlaku kerana lawan menggunakan pasukan bertaraf elit.
“Untuk pasukan wanita, saya menganggap final wanita sangat sengit dengan keputusan 4-3. Saya tidak menjangka Filipina mampu memberi tentangan begitu hebat.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi Malaysia pada Sukan SEA 2025 dan akan terus menyokong mereka selamanya,” katanya.














