AGADIR – Mesir dianggap bernasib baik apabila memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan kemenangan selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Zimbabwe di Stadium Adrar awal pagi semalam.
Dua gol menerusi jaringan Omar Marmoush dan Mohamed Salah sudah cukup untuk membantu The Pharaohs mengutip tiga mata penting bagi saingan Kumpulan B, manakala gol Zimbabwe dijaringkan Prince Dube.
Walaupun bermula langkah kanan, namun jurulatih Mesir, Hossam Hassan tidak berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan, lebih-lebih lagi mereka gagal memanfaatkan peluang di depan gol.
“Secara jujur saya menganggap kami sangat bernasib baik untuk mencatat kemenangan pada malam ini (semalam). Kami banyak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol dan ia menyebabkan Mesir berdepan kesukaran.
“Saya sudah memberikan amaran kepada semua pemain supaya perkara ini tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang. Mereka perlu menjadikan perlawanan hari ini (semalam) sebagai pengajaran,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan, saingan pada kali ini lebih sengit berbanding edisi-edisi terdahulu dan ia terbukti apabila anak-anak buahnya berdepan kesukaran berdepan Zimbabwe.
“Tidak ada perlawanan mudah dalam pertandingan seperti ini kerana persaingan semakin sengit. Bagaimanapun, tidak ada alasan untuk Mesir bersaing merebut kejuaraan kerana kami adalah pasukan besar,” ujar Hassan. – AGENSI














