SUDAH tiba masanya beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk lebih memilih kejohanan pada saingan musim depan dalam usaha memastikan aksi lebih konsisten setiap kali masuk ke gelanggang.
Cadangan itu disuarakan legenda beregu campuran tanah air, Goh Liu Ying yang menganggap perkara tersebut perlu kerana gandingan juara dunia berkenaan akan fokus ke arah Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Liu Ying berkata, strategi memilih kejohanan tertentu sudah dipraktikkan pemain-pemain China sebelum ini dan ia sangat membantu mereka untuk mencapai kemuncak dalam setiap kejohanan disertai.
“Bagi pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, mereka memang perlu memilih mana-mana kejohanan untuk disertai. Tambahan pula selepas ini fokus utama mereka adalah Sukan Olimpik Los Angeles.
“Saya rasa cara ini sudah sering digunakan oleh pasukan dan ia merupakan satu perancangan yang bagus. Kita patut belajar daripada China mengenai cara mereka merancang jadual pemain,” katanya.
Pada saingan musim ini, Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah tersendiri apabila menjadi beregu campuran pertama Malaysia menjadi juara dunia selepas menewaskan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di perlawanan akhir.
Bagaimanapun, hasrat mereka untuk menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang tidak tertunai apabila tersingkir di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China.
Tambah Liu Ying, kepenatan mungkin menjadi antara faktor kekalahan Tang Jie-Ee Wei di Jelajah Dunia Akhir selain berdepan lawan sukar di separuh akhir, iaitu Zhen Bang-Ya Xin.














