fbpx
Gambar hiasan

Musim cuti sekolah, ramai ‘gantung’ kain pelekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Musim cuti persekolahan terus menjadi tempoh paling sibuk apabila kebanyakan ibu bapa bapa memanfaatkan masa anak-anak di rumah dengan menjalani prosedur berkhatan.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, pelbagai gelagat kanak-kanak yang dikhatankan menjadi tumpuan netizen setelah ia dikongsikan oleh penjaga masing-masing.

Ada yang menangis, menjerit dan kelihatan takut sebelum atau semasa proses khatan, manakala ada juga kanak-kanak kelihatan gembira serta teruja untuk berkhatan.

Seorang bapa, Azlan meluahkan rasa syukur apabila anak bongsunya selesai berkhatan selepas beberapa kali memujuk.

“Alhamdulillah, anak bongsu dah selesai berkhatan. Pening juga nak memujuk bagi setuju, tahun lepas tak berjaya…tahun ini alhamdulillah hero setuju,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, pengguna TikTok, Emma berkongsi gelagat dua orang anaknya yang pada awalnya kelihatan begitu teruja apabila menyertai sebuah program khatan perdana dan seronok menikmati mandian air bomba.

Namun, selepas selesai disunatkan, wajah kanak-kanak tersebut bertukar muram dan sedih.

“Alhamdulillah syukur berjalan dengan lancar. Semoga abang adik cepat sihat. Ibu baba love both of you (sayang awak berdua),” katanya.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, berkhatan ialah prosedur membuang kulit lebihan yang menutupi kepala zakar atau kulup, sekali gus memudahkan pembersihan dan mengurangkan risiko beberapa masalah kesihatan tertentu.

Menurut PHM, secara umum prosedur berkhatan melibatkan pemeriksaan awal bagi memastikan tiada jangkitan atau masalah pembekuan darah diikuti proses pembersihan dan bius setempat sebelum kulup dibuang menggunakan teknik sesuai.

“Penjagaan selepas prosedur pula merangkumi pengambilan ubat tahan sakit jika perlu, cara mencuci luka, pantang aktiviti tertentu serta temujanji susulan,” kata PHM.

Tambah kenyataan itu, tiada satu umur yang dianggap paling tepat untuk berkhatan kerana ia bergantung kepada keadaan individu dan pilihan keluarga.

“Bayi biasanya pulih lebih cepat, manakala kanak-kanak sering menjadi pilihan kerana mereka sudah boleh memahami arahan asas penjagaan kebersihan. Bagi remaja dan dewasa pula, berkhatan masih boleh dilakukan namun tempoh pemulihan mungkin lebih mengganggu rutin harian,” jelasnya.

PHM turut memaklumkan, berkhatan mempunyai beberapa manfaat kesihatan yang disokong kajian, antaranya mengurangkan risiko jangkitan HIV melalui hubungan heteroseksual sekitar 50 hingga 60 peratus.

“Selain mengurangkan risiko beberapa jangkitan kelamin seperti HPV yang turut memberi kesan kepada pasangan.

“Berkhatan juga didapati mengurangkan risiko jangkitan salur kencing (UTI) pada bayi lelaki, masalah kulup seperti phimosis dan radang berulang, serta dikaitkan dengan risiko kanser zakar yang lebih rendah walaupun penyakit tersebut jarang berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI